Aku berbangga menjadi salah seorang peserta pertandingan ini. Bukan berbangga kerana berjaya menjadi duta kecil Malaysia, tetapi aku bangga kerana dapat bertemu dengan peserta-peserta dari pelbagai pelusuk Negara dunia yang dihiasi dengan latar budaya yang berbeza tetapi fasih bertutur dalam bahasa ibundaku yang tercinta.
Sepatutnya, anak watan Malaysia yang telah sekian lama bersetuju untuk mengangkat Bahasa Melayu sebagai kebangsaan perlu berasa malu dengan peserta-peserta bukan berjati diri melayu yang menyertai pertandingan ini. Mereka bukan orang Melayu, dan mereka bukan penutur asli bahasa Melayu tetapi mengapa mereka boleh mempelajari bahasa Melayu sedangkan di Negara sendiri Bahasa Melayu semakin dianak tiri?


Mereka datangnya dari Australia, China, Kazakhstan, United Kingdom, Yaman, Romania, Ukraine, Albenia, Serbia, Korea, Amerika Syarikat, Palestin, Poland, Russia dan banyak lagi Negara hatta dari Jepun dan Perancis yang begitu mendaulat bahasa ibunda mereka turut berupaya bertutur dalam bahasa Melayu. Walaupun mungkin ada pelat-pelat dalam pertuturan mereka, tapi bagi aku ia jauh lebih bermakna berbanding anak melayu yang tidak tahu mendaulatkan bahasanya sendiri.
Ini mungkin coretan peribadi aku sebagai anak Melayu yang tidak mahu kehilangan bahasa sendiri kerana kita sedar, selepas tulisan jawi menyepi adakah kita mahu bahasa kita pula yang dimamah globalisasi??
p/s : aku bangga melihat mereka bertutur dalam bahasa ibunda aku. Terima kasih dan aku hargainya.








