Buat sahabat-sahabat mahasiswa yang dikasihi, suka untuk saya meluahkan sedikit rasa hati. Bukan mahu mencaci, menghina, mengeji dan mencerca. Tetapi sekadar mahu berkongsi demi kebaikan kita bersama, untuk mengingatkan diri kita termasuklah saya (manusia yang mudah lupa). Ini hanya luahan rasa, dari seorang manusia biasa yang tak punya apa-apa.
Sebelum anda memasang hajat untuk terlibat dalam politik kampus, kepimpinan kampus, mahupun perjuangan mahasiswa, saya merayu dan menyeru supaya kalian bersiap siaga terlebih dahulu. Ilmu perlu dijadikan senjata, pendirian perlu teguh di dada. Perisainya adalah kebenaran dan keadilan. Musuhnya adalah kejahilan dan kepalsuan. Perjuangan kita bukan mewakili warna, bukan juga mewakili kumpulan yang berbeda. Tapi perjuangan kita perlu diletakkan pada asas dan matlamat yang sama, landasannya perlulah sekata. Suara dan gerakan mahasiswa, tidak akan pernah mewakili mana-mana kerangka perjuangan peribadi sesiapa. Agenda Kerajaan hatta Propaganda Pembangkang, bukan kiblat kita dan mereka juga bukan tuhan kita. Yang baik memang wajar kita teruskan, yang silap perlu kita betulkan.
Tetapi, setelah beberapa bulan saya berdiri di arena ini, bergelumang dengan kesibukan yang kadangkala tidak mampu saya hadapi, terdetik juga rasa kecewa melihat apa yang sedang melanda. Kerangka perjuangan mahasiswa semasa, bukan ciptaan kita dan bukan lahir dari idea kita. Tapi ia dibentuk dan dibina oleh mereka yang mahu mengejar kedudukan dan kuasa. Bila dikerah berdemonstrasi, maka kita akan rela memperhamba diri dan bila diberi wang dan ganjaran maka kitalah pengikut setia yang sanggup berkorban nyawa tanpa menilai baik dan buruknya sesuatu perkara.
Tembok keegoan antara kita semakin utuh dan kukuh, hinggakan kesepaduan gerakan mula runtuh. Idealisme dan pandangan kita sahaja yang mulia agenda mereka yang bukan sejemaah dan sekutu dengan kita semuanya dusta dan tidak perlu diterima. Yang satu berlagak raja, yang satu berlagak berkuasa. Rajuk menjadi pilihan, kewajipan dan tanggungjawab mula ditinggalkan. Akhirnya apa yang ada??? Hanya saki baki kudrat dari segelintir mereka yang hadir di sini dengan penuh minat. Terima kasih buat mereka yang masih setia berkhidmat.
Ini bukan soal kumpulan mana yang kuat, jemaah mana yang hebat. Tapi ini soal kewajipan dan amanat yang akan ditanya kelak di akhirat. Kerjasama perlu teguh, kebersamaan perlu kukuh kerana banyak cabaran yang perlu ditempuh. Lari dari tanggungjawab bukan jawapan kepada sebuah pembaharuan, dan ia juga bukan asas kepada sebuah kekuatan, tapi sebenanarnya itulah tanda kelemahan yang menjadi punca kelesuan.
Tolonglah lakukan sesuatu, jika kita inginkan sesuatu.


2 gerakbalas-gerakbalas so far ↓
lurunna // September 10, 2009 pada 4:29 am
mcm teks pidato…
hehe..
tp 2 la realitinya…terabai & serabai!
fazilyahaya // September 10, 2009 pada 4:49 pm
iras2 megatruh… hehe