Sudah lama rasanya tidak menulis, kekok dan kaku rasanya. Tapi itu bukan alasan untuk berhenti berkongsi dengan semua.
Entri kali ini ditulis dari perspektif mantan yang telahpun turun dari jawatan. Berkongsi rasa suka dan kecewa setelah 12 bulan bergelar pemimpin. Untuk entri slot 1 ini, saya akan berkongsi dahulu rasa terhutang budi dan terima kasih ikhlas dari hati buat rakan-rakan seperjuangan MPP yang bersama mengharungi suka dan duka kepimpinan selama 12 bulan ini.
Secara jujurnya saya cukup bangga dengan pasukan kepimpinan saya iaitu Majlis Perwakilan Pelajar UPM sesi 2008/2009. Biarpun tempang namun banyak kejayaan yang berjaya dilakarkan hasil daripada kualiti yang dimiliki oleh 25 ini. Saya percaya, kelemahan saya yang paling besar adalah kegagalan untuk mewujudkan sense of belonging sebagai satu keluarga dalam diri saya dan mereka. Saya terlalu prosedur, hubungan hanya berbentuk ketua dengan anak buah. Saya lupa untuk mewujudkan rasa kebersamaan dari hati ke hati dengan mereka. Apa yang saya Tanya kepada mereka, semuanya tentang kerja rasmi, jarang sekali saya bertanya sebagai seorang rakan dan keluarga. Benar, itulah kelemahan saya yang paling besar. Maaf saya pinta dari rakan-rakan MPP semua.
bersama Razik, Fikri, Shahrul dan Johari dalam Persidangan di UTHM
Terima kasih buat Shahrul dan Johari atas kecekapan mengurus dan mentadbir Jabatan Setiausaha dengan baik sekali, mereka berdua ibarat Upin dan Ipin yang sentiasa menceriakan MPP kali ini. Mereka sebenarnya tulang belakang pengurusan MPP. Undi yang diberikan kepada mereka adalah sangat berharga kerana kalian telah memilih individu yang tepat dan undid an kepercayaan kepada Shahrul dan Johari inilah antara penyelamat sebenar MPP UPM sesi 2008/2009. Tanpa gandingan Shahrul dan Johari, sunyilah MPPUPM sesi 2008/2009 ini. Sebelum terlupa, tahniah dan terima kasih buat Johari juga atas amanah dan akauntabilitinya menguruskan Tabung Kebajikan Pelajar MPP yang telahpun membantu pelajar-pelajar yang memerlukan!!
Juga buat saudara Ong Guang Xin dan Chai Chin Ling (CL) atas fokus tugas yang sukar ditandingi. Isu study week yang dikembalikan kepada pelajar bermula semester ini, isu keselamatan dan kebersihan makanan yang sentiasa dipantau adalah hasil kesungguhan mereka mereka berdua. Tanya saja tentang status makanan dan akademik, semua berada dalam pengetahuan mereka berdua. Daniel, kelihatan bergerak solo dalam menguruskan isu-isu luar kampus dan antarabangsa. Tapi jangan dipandang rendah pada yang bergerak solo, kerana Daniel antara MPP yang paling sistematik dalam kabinet 2008/2009. Bila mesyuarat pengurusan MPP, saya tidak perlu risau dengan Daniel kerana saya yakin laporan bertulis penuh sudah disediakan. Jadi cabaran kepada MPP akan datang ialah, bagaimana utk menyaingi kualiti mereka bertiga ini?? Haha ini cabaran buat anda.
Tidak dilupa buat gandingan pasangan merpati dua sejoli Saufi dan Sheryan. Memang tidak boleh dinafikan kehebatan mereka. Profesionalisme kerja dan pengalaman mereka sebagai Majlis Tertinggi Mahasiswa (MTM) kolej 12 UPM menyebabkan isu-isu pengangkutan berjaya diselia dengan baik. Biarpun isu pengangkutan ini tidak akan pernah selesai, namun setidak-tidaknya mereka berdua berusaha sebaik mungkin utk meminimumkan rungutan rakan-rakan mahasiswa UPM.Kredit utk Sheryan Anwar kerana walaupun sibuk praktikal tapi tetap gigih untuk turun padang dan menyelesaikan setiap tugasan. Sheryan, saya kagum dengan semangat dan kesungguhan anda. (^_^)
Juga buat Cecilia Evelyn Cornelius yang juga digelar “Penunggu Pejabat MPP” dan Mohd Razik Midin yang sentiasa ada untuk berkhidmat tanpa mengira masa. Aduan pelajar sentiasa menjadi keutamaan dan aktiviti-aktiviti yang memerlukan komitmen MPP dilaksanakan dengan baik.
memori terindah selepas memenangi geran perlaksanaan program 1 Malaysia@kampus.
Rashidie Ramli pula adalah pelopor kejayaan terbesar MPP bagi penganjuran program berimpak tinggi hasil gandingan dan kesepaduan idea bersama Ahmad Fikri Samsudin dan Azizul Razali. Terima kasih buat Rashidie, Azizul dan Fikri. Saya sangat terhutang budi dan maaf kalau terlalu serius dengan anda dan maaf juga jika ada bahasa-bahasa yang agak kasar telah saya gunakan untuk memarahi kamu sepanjang proses perlaksanaan program ini. Fatma, mungkin pasif jika dilihat dari zahirnya, tapi bila tugas diagihkan kepadanya maka jangan lagi dirisaukan kerana ia pasti terlaksana dengan sepenuh kudratnya. Akmal Azfar yang lebih mesra dengan gelaran Lamka juga terbaik!! Menjadi Pengarah untuk Konvensyen Maulidur Rasul (aktiviti pertama anjuran MPPUPM) dan Pengarah Jelajah Berbasikal Mahasiswa Satu Malaysia telah menjadi bukti kualiti yang ada pada lelaki berbadan besar ini. Bukan sahaja besar saiz, tapi semangatnya juga besar. Terima kasih Lamka!!
Nurul Raihan?? Dia memang layak mendapat undian tertinggi dalam pemilihan kali ini. Semangat mahu belajar yang ada dalam dirinya menyebabkan dia tak pernah mengalah biarpun lebih 2 kali menitiskan air mata kerana dimarahi oleh saya sendiri. Sekali di UTHM dan sekali dalam penganjuran siri ke-3 Mahasiswa Satu Malaysia (MSM). Saya yakin, Yan akan lakukan dengan lebih baik dalam MPP kali ini. Percayalah, tangan yang menghayun buaian juga bisa menggoncangkan dunia, dan itu yang saya nampak ada pada siswi yang bernama Nurul Raihan Abu Samah ini.
Pak Hoe Weng juga menjadi pelopor kepada program berimpak tinggi MPP. Penganjuran program berilmu berbakti bersama murid-murid SJK adalah bukti betapa Pak Hoe Weng tetap prihatin untuk mengangkat slogan UPM sendiri iaitu Berilmu Berbakti. Ambassador yang diuruskan oleh Pak juga telah mengangkat nama kepimpinan MPP. Syabas Pak Hoe Weng, saya yakin utk sesi 2009/2010 anda akan lebih berjaya dan kita nantikan kejayaan terbaru Pak bersama rakan kepimpinan yang baru tahun ini.
Untuk dipendekkan analisis dan penilaian saya, saya ucapkan terima kasih kepada semua MPPUPM sesi08/09 yang sudah berbakti dan berkhidmat sepenuh hati. Anda tahu siapa anda, dan anda tahu saya terhutang budi dengan anda. Tanpa anda semua yang aktif dan konsisten berkhidmat maka MPPUPM 08/09 tidak akan ke mana. Kejayaan MPPUPM bukan kerana saya, tapi kerana anda semua. Saya hanya menumpang atas kreadibiliti dan kehebatan anda.
Dan yang paling penting, kejayaan MPPUPM sepanjang 12 bulan bagi sesi 2008/2009 ini adalah disebabkan kebersamaan rakan-rakan mahasiswa UPM secara keseluruhannya. Bersama kita merapatkan ukhwah dan silaturahim.
bersambung insyallah
Adakah perkara yang kita rasakan BENAR itu, adalah BENAR-BENAR sebuah KEBENARAN atau ianya menjadi BENAR, selepas kita MEMBENARKAN sebuah KEPALSUAN menjadi BENAR??
Bukan ingin bermain kata, menyusun madah pujangga. Cuma ingin mengingatkan diri yang sentiasa leka dan lupa, bahawa sesungguhnya dunia ini tidak seindah dan tidak sesempurna yang kita rasa. Banyak wataknya, banyak juga perwatakannya.
p/s : hanya SATU KEBENARAN yang HAKIKI, berpandulah kepadaNYA
Perjuangan mahasiswa di era kemuncak pergerakan sekitar tahun 1960 – 1974 amatlah digeruni. Hak dan kemiskinan rakyat menjadi nadi dan asas perjuangan mahasiswa ketika itu. Semangat dan kepekaan yang tinggi terhadap isu kemasyarakatan dan keperitan hidup masyarakat setempat seolah-olah menjadi darah yang mengalir dalam diri dan jiwa mahasiswa. Hidup rakyat diperjuangkan, kebenaran cuba ditegakkan, nasib petani dipertahankan, masyarakat setempat diberikan perhatian, pemimpin yang tidak berintegriti cuba kita jatuhkan dan pelbagai perkara lagi yang menjadi lambang kekuatan dalam perjuangan mahasiswa tempatan. Daripada isu penubuhan Universiti Kebangsaan 1968, isu Kempen Pilihanraya Umum 1969, Isu Kempen Anti-Tunku 1970, Peristiwa Teluk Gong dan Hamid Tuah 1970, Peristiwa Tasik Utara 1974, hinggalah Peristiwa Baling 1974 semuanya kita laksanakan, sebagai bukti kesucian perjuangan mahasiswa dalam membela nasib masyarakat setempat.
Tidak cukup dengan isu tempatan, isu antarabangsa turut dilaungkan bagaimana demonstrasi menentang pengeboman AS ke atas Hanoi-Haipong 1966, demonstrasi terhadap pendudukan soviet union ke atas Czechhoslavia 1968, demonstrasi terhadap tuntutan Filipina ke atas Sabah 1968, Demonstrasi ke atas British yang menjual senjata kepada Afrika Selatan yang membudayakan Dasar Apartheid 1970, dan demonstrasi menentang lawatan PM Thailand yang menindas umat Islam Pattani 1971 semuanya pantas dilakukan. Itulah mahasiswa suatu ketika di era gemilang dan kemuncaknya.
Dan kini, saya berada di era baharu. Era perjuangan mahasiswa yang dilabelkan sebagai batu, kayu, kaku dan lesu. Kami dilabelkan sebagai mahasiswa yang cacat dan tidak bermaya. Hanya tahu membutakan mata, memekakkan telinga dan mencacatkan anggota terhadap isu-isu yang melanda. Apa yang diutamakan bukan lagi kesatuan perjuangan, tetapi kehebatan menjawab peperiksaan. Untuk menjadi ikon mahasiswa yang disegani, bukan lagi idealisme dan perjuangan yang diperhati tetapi kehebatan kita membulatkan jawapan A, B, C, D dan mungkin juga E. Tapi pastikan, kita menggunakan pensil 2B. Fokus akademik dijadikan alasan, hinggakan banyak daripada kita (dan mungkin juga saya) suka bersikap untuk lepas tangan.
Berdasarkan analisis pembacaan yang mampu saya lakukan, banyak pihak berpendapat masalah kelesuan dan kekakuan mahasiswa hari ini berpunca dari kewujudan AUKU. Dan semuanya itu dikatakan bermula pada era 1975 apabila terdapatnya beberapa pindaan baru yang dibuat pada AUKU 1971 (pindaan 1975) seperti mana yang dinyatakan oleh Baharudin Ali Masrom, 1975 bermulanya “Zaman Malap Mahasiswa” yang diselubungi oleh ketakutan untuk bertindak (culture of fear). Disebabkan oleh pindaan ini, gerakan mahasiswa yang sebelumnya dikatakan begitu hebat dan membara semakin suram dan tenggelam. Taring yang tajam seolah-olah dicabut, kuku yang kuat mencengkam seperti dipatahkan. Hingga ada yang menyatakan, gerakan mahasiswa selepas pindaan 1975 itu telah cacat anggotanya, lumpuh dan tidak mampu bergerak seperti manusia yang sempurna sifatnya. Gerakan yang sebelum ini agak radikal, lantang dan sentiasa bergelumang dengan demonstrasi tidak lagi mewarnai gerakan mahasiswa. Sudut pidato yang sebelum ini kaya dengan buah fikir mahasiswa mula berlumut dan terbiar. Jika tidak silap saya, ada lebih daripada 10 seksyen AUKU yang boleh dikategorikan sebagai mengongkong dan menyekat terutamanya pada seksyen 15 dan 16. (sila rujuk AUKU pindaan 1975)
Kini, selepas bacaan pertama dilakukan oleh Menteri Pengajian Tinggi pada 17 Julai 2008, dan kemudiannya diluluskan oleh parlimen dan digazetkan pada Februari 2009, AUKU bukan lagi alasan. Sebanyak 61 peruntukan daripada 106 peruntukan di bawah AUKU telah dipinda dan menurut Dato” Saifudin Abdullah, Timb. Menteri Pengajian Tinggi yang saya kagumi, pindaan ini secara tidak langsung telah membolehkan mahasiswa kembali berinteraksi dan bergabung dengan pertubuhan dan persatuan luar (kecuali parti politik), berinteraksi dengan mana-mana ahli dan parti politik, kebenaran untuk bersuara dengan lebih lantang tentang apa-apa isu di simposium, konvensyen, seminar atau mana-mana majlis yang bukan dianjurkan oleh parti politik (ini kegemaran saya) dan turut diberikan hak perwakilan dalam Senat dan Jawatankuasa Kebajikan universiti (saya tak pernah merasainya sehingga saat artikal ini ditulis).


Menyerap semangat pindaan AUKU 2009 ini, maka saya memberanikan diri untuk melahirkan idea bagi menyahut saranan Perdana Menteri melalui mekanisme kerangka Mahasiswa Satu Malaysia (MSM) yang telahpun dilancarkan pada Julai 2009 yang lalu. Asas pembentukannya adalah semangat kesatuan pelajar, yang perlu bergabung di bawah satu matlamat perjuangan yang jelas sebagai satu badan bebas yang tidak berkepentingan politik (kalau boleh saya mahu saja daftarkan ia sebagai NGO). Ada 7 nilai sebagai Mahasiswa yang cuba saya terapkan (saya akan jelaskan dalam entri akan datang). Kerana saya yakin dan percaya, mahasiswa Malaysia cukup matang untuk berjuang. Kita bukan hamba kepada mereka yang takut pada bayang-bayang. Walhal bayang sendiri yang dikatakan jembalang. (perlu dinilai dalam keadaan yang sinikal)

Itu adalah sejarah awal, mengapa saya mahu laksanakan agenda Mahasiswa Satu Malaysia, yang seringkali dimomok-momokkan oleh mereka yang tidak sehaluan dengan saya kerana mereka tidak pernah memahami, dan tidak pernah cuba untuk memahami niat dan hasrat idealisme saya yang biasa-biasa ini. Saya bukan mahukan nama, tapi saya mahu melihat pembaharuan. Pembaharuan yang lahir dari kesedaran, bahawa kita adalah pewaris pimpinan masa hadapan setelah puluhan tahun hidup kita dikatakan hidup dalam kongkongan.
Kini alhamdulilah, walaupun tidak ramai yang bersama saya namun gerakan Mahasiswa Satu Malaysia sudah mula melangkah ke fasa kedua. Jelajah Mahasiswa Bersama Masyarakat adalah agendanya. Mungkin tidak jauh berbeza dengan apa yang pernah dilakukan oleh PMUM pada tahun 1970 di bawah gerakan “Projek Perkhidmatan Masyarakat”, namun setidak-tidaknya kami berusaha dan mencuba, untuk mengembalikan kepekaan dan keprihatinan mahasiswa untuk menyelami, memahami dan mendalami masalah yang dihadapi oleh masyarakat (khususnya di luar bandar).

Kini fasa teakhir gerakan mahasiswa satu malaysia yang menggusarkan saya. Adakah resolusi yang bakal kami rangka untuk diserahkan kepada kementerian akan diambil tindakan dan akan diberikan perhatian?? (maksud saya bukan sekadar menerimanya sahaja, tapi perlu segera dilaksanakan). Atau ianya hanya akan dipandang ringan sebagai suara picisan?? Sama-sama kita nantikan. Insyallah penyerahan resolusi akan dilaksanakan selepas cuti Aidilfitri ini.
bersambung…….
Buat sahabat-sahabat mahasiswa yang dikasihi, suka untuk saya meluahkan sedikit rasa hati. Bukan mahu mencaci, menghina, mengeji dan mencerca. Tetapi sekadar mahu berkongsi demi kebaikan kita bersama, untuk mengingatkan diri kita termasuklah saya (manusia yang mudah lupa). Ini hanya luahan rasa, dari seorang manusia biasa yang tak punya apa-apa.
Sebelum anda memasang hajat untuk terlibat dalam politik kampus, kepimpinan kampus, mahupun perjuangan mahasiswa, saya merayu dan menyeru supaya kalian bersiap siaga terlebih dahulu. Ilmu perlu dijadikan senjata, pendirian perlu teguh di dada. Perisainya adalah kebenaran dan keadilan. Musuhnya adalah kejahilan dan kepalsuan. Perjuangan kita bukan mewakili warna, bukan juga mewakili kumpulan yang berbeda. Tapi perjuangan kita perlu diletakkan pada asas dan matlamat yang sama, landasannya perlulah sekata. Suara dan gerakan mahasiswa, tidak akan pernah mewakili mana-mana kerangka perjuangan peribadi sesiapa. Agenda Kerajaan hatta Propaganda Pembangkang, bukan kiblat kita dan mereka juga bukan tuhan kita. Yang baik memang wajar kita teruskan, yang silap perlu kita betulkan.
Tetapi, setelah beberapa bulan saya berdiri di arena ini, bergelumang dengan kesibukan yang kadangkala tidak mampu saya hadapi, terdetik juga rasa kecewa melihat apa yang sedang melanda. Kerangka perjuangan mahasiswa semasa, bukan ciptaan kita dan bukan lahir dari idea kita. Tapi ia dibentuk dan dibina oleh mereka yang mahu mengejar kedudukan dan kuasa. Bila dikerah berdemonstrasi, maka kita akan rela memperhamba diri dan bila diberi wang dan ganjaran maka kitalah pengikut setia yang sanggup berkorban nyawa tanpa menilai baik dan buruknya sesuatu perkara.
Tembok keegoan antara kita semakin utuh dan kukuh, hinggakan kesepaduan gerakan mula runtuh. Idealisme dan pandangan kita sahaja yang mulia agenda mereka yang bukan sejemaah dan sekutu dengan kita semuanya dusta dan tidak perlu diterima. Yang satu berlagak raja, yang satu berlagak berkuasa. Rajuk menjadi pilihan, kewajipan dan tanggungjawab mula ditinggalkan. Akhirnya apa yang ada??? Hanya saki baki kudrat dari segelintir mereka yang hadir di sini dengan penuh minat. Terima kasih buat mereka yang masih setia berkhidmat.
Ini bukan soal kumpulan mana yang kuat, jemaah mana yang hebat. Tapi ini soal kewajipan dan amanat yang akan ditanya kelak di akhirat. Kerjasama perlu teguh, kebersamaan perlu kukuh kerana banyak cabaran yang perlu ditempuh. Lari dari tanggungjawab bukan jawapan kepada sebuah pembaharuan, dan ia juga bukan asas kepada sebuah kekuatan, tapi sebenanarnya itulah tanda kelemahan yang menjadi punca kelesuan.
Tolonglah lakukan sesuatu, jika kita inginkan sesuatu.



